Assalamualaikum (",)
Asalnya, aku hanya gadis biasa yang tidak tahu apa apa.
Hanya menuruti apa sahaja yang orang kata. Aku tidak punya pendirian tetap, aku
tidak punya impian melainkan impian aku untuk melangkah ke universiti. Aku
bukan pelajar Maahad, aku juga bukan pelajar SMKA, apatah lagi pelajar aliran
agama. Aku hanya pelajar yang belajar subjek Pendidikan Islam daripada Tahun 1
sehingga Tingkatan 5. Tidak pernah langsung terlintas dibenak hati aku untuk
menjadi seperti ustazah aku. Jauh sekali. Fikiran remaja belasan tahun yang
ingin berfesyen dan bergaya. Aku pernah ditegur seorang lelaki kerana tudung
yang aku kenakan itu jarang dan tidak memakai anak tudung. Malu. Sangat malu.
Sejak dari itu aku memakai anak tudung walaupun hanya ke kafe. Ohh, kisah itu
ketika aku di matrikulasi, tahun 2008. Melangkah ke alam universiti, ternyata
pilihan aku sangat teppat untuk merantau di Bumi Kenyalang. Jauh, sangat jauh.
Itulah pengorbanan dan aku sangat bersyukur kerana dikelilingi sahabat-sahabat
yang baik akhlaknya. Aku meneruskan pengajian ijazah sarjana muda ku dengan
bahagianya dah sampai satu ketikanya aku jatuh, tersungkur dan hampir terleka
dengan kegalalan. Aku mencari-cari silap aku dimana, ternyata Allah mahu
menguji, aku mula muhasabah diri dengan bantuan sahabat lama di matrikulasi.
Ternyata, banyak yang perlu aku perbetulkan.
Alhamdulillah, hari demi hari, semangat ku kembali bangkit.
Walaupun terpaksa menelan pelbagai kata-kata. Langkah demi langkah, sahabat
yang sentiasa ada, masih ada di sisi. Awalnya aku cuma ingin memperbaiki
luaran, tetapi tanpa aku sedar, aku sangat tertarik dengan keayuan seorang
wanita yang bertudung labuh. Tetapi, mustahil bagi aku ketika itu, yang bertudung
bawal 45', shawl dan pashmina untuk terus bertudung bulat sebegitu. Hati memang
kuat berkata-kata.
September 2011, tatkala aku masih di semester 5 pengajian
sarjana muda. Itu lah titik pemula perubahan yang aku lalui. Pada mulanya aku
hanya ingin menjadi lebih baik, tetapi artikel “tip awal bertudung labuh”
sememangnya memberi lembaran baru buat jiwa yang selama ini terlalu keliru
dalam mencari identiti. Allahuakbar. Aku menganggap pertemuan aku dengan
artikel yang begitu bermakna itu adalah sesuatu yang telah ditentukan oleh-Nya
dan sememangnya itu adalah satu petanda. Lantas hatiku berkata, “jika aku tak
mulakan, mana mungkin segalanya akan berlaku”. Subhanallah Walhamdulillah.
Semenjak semester 1 pengajian aku sememangnya berkenalan dan bersahabat dengan
muslimah yang ikhlas dalam beragama. Terdetik juga dihati kecilku, “bila lagi
lah aku akan jadi seperti mereka”. Benarlah satu kata kata “jika kita ingin
berubah menjadi lebih baik, Allah akan hantarkan orang yang baik bersama kita”.
Setiap malam aku berdoa agar Allah membuka pintu hati aku
untuk aku terus mencari kebenaran. Pada mulanya aku hanya bertudung bawal
seperti biasa, cumanya tiada lagi silang rama-rama yang menonjolkan dada.
Ketika itu pun, sudah ada suara sumbang yang mengatakan aku mahu menukar
profesion menjadi seorang ustazah. Pahit ku telan jua. Perlahan aku melangkah
mencari cahaya yang aku yakin ada di hadapan sana. Kemudian aku mula mencari
t-shirt muslimah yang labuh, berstokin dan sarung tangan. Awalnya memang
kelihatan serabut, mana tidaknya, setiap kali keluar dari rumah perlu pakai itu
dan ini. Tapi lama kelamaan sudah menjadi satu kebiasaan. Dan akhirnya aku
mengambil langkah seterusnya untuk bertudung bidang 50’. Rasa tenang
sangat-sangat, malah aku lebih selesa dan selamat. Aku juga mula mengumpul
jubah-jubah. Baju kurung pun aku akan pastikan bersaiz besar dan longgar. Suatu
hari aku meminta sahabat aku membeli tudung, aku katakan padanya belikan tudung
saiz besar bidang 50. Tetapi dia telah tersilap beli dengan membeli tudung
bersaiz bidang 60. Hampa hatiku, kerana aku belum bersedia untuk memakai tudung
sebesar itu. Apatah lagi dengan saiz ku yang pendek ni. Lantas aku simpan
tudung tu dan aku katakan pada sahabatku, “nanti lepas kahwin, aku pakai tudung
ni k, besar sangat”.
Selama satu tahun aku bersama tudung bidang 50’. Dan aku
masih diberi kekuatan untuk terus melangkah ke langkah seterusnya, aku mula
bertudung bidang 60’. Ketika di semester 7, disaat itulah aku berkenalan dengan
sahabat-sahabat yang baik, Kak Jannah, Yanie, Damia, Mieza dan Aza. Dan turut
bersama dengan aku selama ini adalah Athirah dan Adinda Izzati. Merekalah yang
menginspirasikan aku, untuk aku terus mencari kebenaran. Allahuakbar,
sesungguhnya wanita itu diciptakan sebaik-baik kejadian. Sejak dari itu, aku
mula mengenakan tudung bidang 60’, malah aku lebih selesa. Terasa begitu
selamat dan tenang. Aku juga sentiasa bersama mereka menghadiri majlis-majlis
ilmu di sekitar Kuching. Jiwa nurani aku terisi, sangat terisi. Aku terlalu
yakin, pilihan aku untuk berubah hanya kerana Allah.
Disamping aku berusaha menjadi solehah secara luaran, aku
juga tidak akan pernah lupa untuk menjadi solehah secara dalaman. Aku perbaiki
solat aku, aku memperbanyakkan solat sunat, mengamalkan membaca Al-Quran
selepas solat fardhu dan juga menambah amalan-amalan sunat yang lain seperti
berpuasa dan sebagainya. Hanya dengan cara itu aku akan rasa lebih dekat dengan
Allah dan untuk aku terus istiqamah dengan perubahan ini. Dan kini, tudung yang
bidang 60’ yang aku simpan, telah aku keluarkan dan aku gunakan seharian.
Alhamdulillah, tiada apa yang dibazirkan sebenarnya. Kini saya di semester
akhir, semester 8, satu lagi langkah paling besar yang telah saya laksanakan.
Dengan dorongan dan sokongan Adinda Izzati, aku mula bertudung bulat. Pada
awalnya aku agak keberatan, kerana aku pernah mengatakan bahawa, aku akan
bertudung bulat sekiranya aku telah berkahwin. Ternyata Allah Maha Mengetahui
apa yang terbaik untuk hamba-Nya. 19 hari berlalu dengan perubahan ini, masih
baru bermula dan aku masih cuba untuk menyesuaikan diri. Dan aku juga masih
mengenakan tudung segitiga bidang 60’ jenis akel dan rozello mengikut keadaan
dan suasana ketika itu.
Perubahan inilah yang paling berat untuk aku, kerana aku
perlu lebih istiqamah. Aku perlu perbaiki segala yang ada dalam diri aku. aku
tidak mahu di’lable’ berubah kerana sesuatu yang lain selain daripada Allah.
Aku takut. Tapi aku terlalu yakin Allah sentiasa ada bersama aku. Allah ada
untuk aku setiap ketika, susah senang suka dan duka. Aku mengharapkan perubahan
ini akan berterusan. Aku gembira yang teramat sangat kerana aku adalah insane
terpilih untuk menjadi lebih baik dalam tempoh 2 tahun. Inilah yang aku cari
selama ini. Inilah ketenangan yang aku impikan sejak dahulu. Terima kasih ya
Allah. Aku bersyukur kerana membuka pintu hatiku agar aku sedar akan kesilapan
yang pernah aku lakukan dulu. Di bumi kenyalang ini, aku semakin dekat dengan
Allah. Di bumi tarbiah ini, aku semakin kenal akan diriku yang selama ni sesat
dalam cahaya. Tiada paksaan dari sesiapa, malah dorongan dan sokongan sentiasa
ada. Tiada apa yang lebih aku harapkan ketika ini melainkan semoga aku terus
istiqamah dalam mencari keredhaan Allah. Kepada mak, abah dan adik beradik,
terima kasih kerana selalu mendoakan.
Buat saudaraku di luar sana, jangan pernah mengalah dalam
mencari kebenaran, jangan pernah putus melakukan kebaikan, kerana ujian yang
mendatang itu adalah tanda Allah masih bersama kita, Allah ingin menguji tahap
keimanan kita. Ikhlaskan diri dalam melakukan apa sahaja kerana Allah SWT. “Ya
Allah yang memutarbalikan hati, tetapkan kami pada jalan agama-Mu”. Bagi mereka
yang baru bermula, teruskan langkahmu J apa yang hanya ingin saya sampaikan
hanya satu, pastikan seimbang perubahan luaran dan dalaman.
Coretan ikhlas,
Saffiyah Al-Husna
-11 mei 2013-
Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)