Tuan Rumah

My photo
// A Caliph of ALLAH //. Aku menCINTAImu kerana AGAMA yang ada pada diri kamu, jika kau hilangkan AGAMA pada dirimu, maka hilanglah CINTAku padamu . bercita cita menjadi muslimah mujahidah solehah yang sentiasa dahagakan ILMU ALLAH dan mengimpikan keluarga yang SAKINAH MAWADDAH, WARAHMAH . ayuh sama sama menimba ILMU untuk bekalan di akhirat sana . ternyata kau tidak akan rugi . semoga ALLAH sentiasa merahmati usaha kita semua . "dunia adalah perhiasan dunia, seindah indah perhiasan adalah WANITA SOLEHAH" Barakallah

Followers

Sunday, May 19, 2013

Perubahan, Lillahita'ala

Assalamualaikum (",)

Asalnya, aku hanya gadis biasa yang tidak tahu apa apa. Hanya menuruti apa sahaja yang orang kata. Aku tidak punya pendirian tetap, aku tidak punya impian melainkan impian aku untuk melangkah ke universiti. Aku bukan pelajar Maahad, aku juga bukan pelajar SMKA, apatah lagi pelajar aliran agama. Aku hanya pelajar yang belajar subjek Pendidikan Islam daripada Tahun 1 sehingga Tingkatan 5. Tidak pernah langsung terlintas dibenak hati aku untuk menjadi seperti ustazah aku. Jauh sekali. Fikiran remaja belasan tahun yang ingin berfesyen dan bergaya. Aku pernah ditegur seorang lelaki kerana tudung yang aku kenakan itu jarang dan tidak memakai anak tudung. Malu. Sangat malu. Sejak dari itu aku memakai anak tudung walaupun hanya ke kafe. Ohh, kisah itu ketika aku di matrikulasi, tahun 2008. Melangkah ke alam universiti, ternyata pilihan aku sangat teppat untuk merantau di Bumi Kenyalang. Jauh, sangat jauh. Itulah pengorbanan dan aku sangat bersyukur kerana dikelilingi sahabat-sahabat yang baik akhlaknya. Aku meneruskan pengajian ijazah sarjana muda ku dengan bahagianya dah sampai satu ketikanya aku jatuh, tersungkur dan hampir terleka dengan kegalalan. Aku mencari-cari silap aku dimana, ternyata Allah mahu menguji, aku mula muhasabah diri dengan bantuan sahabat lama di matrikulasi. Ternyata, banyak yang perlu aku perbetulkan.

Alhamdulillah, hari demi hari, semangat ku kembali bangkit. Walaupun terpaksa menelan pelbagai kata-kata. Langkah demi langkah, sahabat yang sentiasa ada, masih ada di sisi. Awalnya aku cuma ingin memperbaiki luaran, tetapi tanpa aku sedar, aku sangat tertarik dengan keayuan seorang wanita yang bertudung labuh. Tetapi, mustahil bagi aku ketika itu, yang bertudung bawal 45', shawl dan pashmina untuk terus bertudung bulat sebegitu. Hati memang kuat berkata-kata.

September 2011, tatkala aku masih di semester 5 pengajian sarjana muda. Itu lah titik pemula perubahan yang aku lalui. Pada mulanya aku hanya ingin menjadi lebih baik, tetapi artikel “tip awal bertudung labuh” sememangnya memberi lembaran baru buat jiwa yang selama ini terlalu keliru dalam mencari identiti. Allahuakbar. Aku menganggap pertemuan aku dengan artikel yang begitu bermakna itu adalah sesuatu yang telah ditentukan oleh-Nya dan sememangnya itu adalah satu petanda. Lantas hatiku berkata, “jika aku tak mulakan, mana mungkin segalanya akan berlaku”. Subhanallah Walhamdulillah. Semenjak semester 1 pengajian aku sememangnya berkenalan dan bersahabat dengan muslimah yang ikhlas dalam beragama. Terdetik juga dihati kecilku, “bila lagi lah aku akan jadi seperti mereka”. Benarlah satu kata kata “jika kita ingin berubah menjadi lebih baik, Allah akan hantarkan orang yang baik bersama kita”.

Setiap malam aku berdoa agar Allah membuka pintu hati aku untuk aku terus mencari kebenaran. Pada mulanya aku hanya bertudung bawal seperti biasa, cumanya tiada lagi silang rama-rama yang menonjolkan dada. Ketika itu pun, sudah ada suara sumbang yang mengatakan aku mahu menukar profesion menjadi seorang ustazah. Pahit ku telan jua. Perlahan aku melangkah mencari cahaya yang aku yakin ada di hadapan sana. Kemudian aku mula mencari t-shirt muslimah yang labuh, berstokin dan sarung tangan. Awalnya memang kelihatan serabut, mana tidaknya, setiap kali keluar dari rumah perlu pakai itu dan ini. Tapi lama kelamaan sudah menjadi satu kebiasaan. Dan akhirnya aku mengambil langkah seterusnya untuk bertudung bidang 50’. Rasa tenang sangat-sangat, malah aku lebih selesa dan selamat. Aku juga mula mengumpul jubah-jubah. Baju kurung pun aku akan pastikan bersaiz besar dan longgar. Suatu hari aku meminta sahabat aku membeli tudung, aku katakan padanya belikan tudung saiz besar bidang 50. Tetapi dia telah tersilap beli dengan membeli tudung bersaiz bidang 60. Hampa hatiku, kerana aku belum bersedia untuk memakai tudung sebesar itu. Apatah lagi dengan saiz ku yang pendek ni. Lantas aku simpan tudung tu dan aku katakan pada sahabatku, “nanti lepas kahwin, aku pakai tudung ni k, besar sangat”.

Selama satu tahun aku bersama tudung bidang 50’. Dan aku masih diberi kekuatan untuk terus melangkah ke langkah seterusnya, aku mula bertudung bidang 60’. Ketika di semester 7, disaat itulah aku berkenalan dengan sahabat-sahabat yang baik, Kak Jannah, Yanie, Damia, Mieza dan Aza. Dan turut bersama dengan aku selama ini adalah Athirah dan Adinda Izzati. Merekalah yang menginspirasikan aku, untuk aku terus mencari kebenaran. Allahuakbar, sesungguhnya wanita itu diciptakan sebaik-baik kejadian. Sejak dari itu, aku mula mengenakan tudung bidang 60’, malah aku lebih selesa. Terasa begitu selamat dan tenang. Aku juga sentiasa bersama mereka menghadiri majlis-majlis ilmu di sekitar Kuching. Jiwa nurani aku terisi, sangat terisi. Aku terlalu yakin, pilihan aku untuk berubah hanya kerana Allah.

Disamping aku berusaha menjadi solehah secara luaran, aku juga tidak akan pernah lupa untuk menjadi solehah secara dalaman. Aku perbaiki solat aku, aku memperbanyakkan solat sunat, mengamalkan membaca Al-Quran selepas solat fardhu dan juga menambah amalan-amalan sunat yang lain seperti berpuasa dan sebagainya. Hanya dengan cara itu aku akan rasa lebih dekat dengan Allah dan untuk aku terus istiqamah dengan perubahan ini. Dan kini, tudung yang bidang 60’ yang aku simpan, telah aku keluarkan dan aku gunakan seharian. Alhamdulillah, tiada apa yang dibazirkan sebenarnya. Kini saya di semester akhir, semester 8, satu lagi langkah paling besar yang telah saya laksanakan. Dengan dorongan dan sokongan Adinda Izzati, aku mula bertudung bulat. Pada awalnya aku agak keberatan, kerana aku pernah mengatakan bahawa, aku akan bertudung bulat sekiranya aku telah berkahwin. Ternyata Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. 19 hari berlalu dengan perubahan ini, masih baru bermula dan aku masih cuba untuk menyesuaikan diri. Dan aku juga masih mengenakan tudung segitiga bidang 60’ jenis akel dan rozello mengikut keadaan dan suasana ketika itu.

Perubahan inilah yang paling berat untuk aku, kerana aku perlu lebih istiqamah. Aku perlu perbaiki segala yang ada dalam diri aku. aku tidak mahu di’lable’ berubah kerana sesuatu yang lain selain daripada Allah. Aku takut. Tapi aku terlalu yakin Allah sentiasa ada bersama aku. Allah ada untuk aku setiap ketika, susah senang suka dan duka. Aku mengharapkan perubahan ini akan berterusan. Aku gembira yang teramat sangat kerana aku adalah insane terpilih untuk menjadi lebih baik dalam tempoh 2 tahun. Inilah yang aku cari selama ini. Inilah ketenangan yang aku impikan sejak dahulu. Terima kasih ya Allah. Aku bersyukur kerana membuka pintu hatiku agar aku sedar akan kesilapan yang pernah aku lakukan dulu. Di bumi kenyalang ini, aku semakin dekat dengan Allah. Di bumi tarbiah ini, aku semakin kenal akan diriku yang selama ni sesat dalam cahaya. Tiada paksaan dari sesiapa, malah dorongan dan sokongan sentiasa ada. Tiada apa yang lebih aku harapkan ketika ini melainkan semoga aku terus istiqamah dalam mencari keredhaan Allah. Kepada mak, abah dan adik beradik, terima kasih kerana selalu mendoakan.

Buat saudaraku di luar sana, jangan pernah mengalah dalam mencari kebenaran, jangan pernah putus melakukan kebaikan, kerana ujian yang mendatang itu adalah tanda Allah masih bersama kita, Allah ingin menguji tahap keimanan kita. Ikhlaskan diri dalam melakukan apa sahaja kerana Allah SWT. “Ya Allah yang memutarbalikan hati, tetapkan kami pada jalan agama-Mu”. Bagi mereka yang baru bermula, teruskan langkahmu J apa yang hanya ingin saya sampaikan hanya satu, pastikan seimbang perubahan luaran dan dalaman.

Coretan ikhlas,
Saffiyah Al-Husna
-11 mei 2013-
Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

No comments:

Post a Comment